Khamis, 6 Mac 2008

Pagi Yang Gelap (01/03/08)

pagi memulakan harinya. agak suram kerana dihiasi titik-titik kasar bersama guruh dari langit. titik-titik kasar yang tadinya menggila kini menjadi rintik-rintik kecil yang entahkan bila akan berhentinya. aku melihat ke luar jendela. mungkin kemarau ingin menyepikan diri. musim bakal berganti.

tiba-tiba...
hatiku berdegup kencang.
pilunya meruntun-runtun.

entah macam manalah keadaan emak dan abah di kampung. mujur juga ada abang aku menemani, namun ianya masih tidak dapat menenangkan aku. kalau aku di sini merasa sejuk hingga ke tulang sum-sum, emak... abah... ngan abang aku kat kampung tu, lagi lah sejuk.

jarum jam berlari-lari ke angka 10. rintik kecil bertukar gerimis. kabus mula muncul di celah-celah bukit.

aku teringat peristiwa pagi tadi. sewaktu aku masih mamai di perbaringan. kira-kira jam 7.30 atau 8.00 pagi. aku terdengar bising-bising di ruang tamu. suara rakan-rakanku sekelas yang juga rakan serumahku. waktu itu hujan masih menggila. lebih enak berada di atas tilam empuk (walaupun tak seempuk mana) dan berselubung rasanya daripada berjaga. mungkin aku ini orangnya malas, lalu itulah pendapat aku. lagi pula, ini pagi sabtu. tiada kelas yang menghambat. aku tarik selimut ke paras dada dan mengiring ke kanan. menghadap dinding. rakan-rakan ku tadi masih lagi kedengaran segar dan bersemangat dengan derai tawa mereka.

kemudian aku terlelap. jam 8.45 pagi aku terjaga semula kerana cuaca yang sejuk menyebabkan pundi ku penuh. aku bergegas ke bilik air. selesai urusanku, aku mengambil kamera DSLR Nikon D40 ku untuk merakam suasana pagi yang suram ini. baru aku teringat. suara rakan-rakanku yang tadinya terlalu gembira sudah hilang. bayang mereka juga sudah tiada. mungkin mereka sednag bergembira di luar sana, di tengah-tengah rintik hujan.

sedih pula hatiku bila memikirkannya. ini pagi sabtu. cuti. namun rakan-rakanku yang tadi sudah tiada. mereka bangun pagi, dan mereka sedang bergelak ketawa. aku berduka bukan kerana aku tinggal sendiri. tetapi ini pagi sabtu. cuti. kenapa pagi sabtu, 1 mac 2008 ini, mereka bisa bangun pagi untuk menghiburkan diri sedangkan ini hari cuti? kenapa bila ada kelas pagi, mereka liat untuk bangkit dari mimpi? kenapa bila ada kelas pagi, mereka tidak pernah bersemangat begini?

ini pagi sabtu. cuti. mereka tegarbangun pagi dan penuh semangat.

harapnya mereka dapat merakamkan emosi daripada pulang bersama gambar yang tiada makna.

ini pagi sabtu. cuti.

Rantau_Alam,
01/03/08,
1040am.

Tiada ulasan: