Rabu, 3 Jun 2009

Pengalaman Yang Mewarnai Kehidupan

Tuhan tidak akan pernah berhenti untuk memberi ujian kepada hamba-Nya terutamanya apabila hamba-Nya itu begitu asyik dan leka melayari kehidupan yang penuh dengan keseronokan dan juga kesenangan sehingga lalai untuk membentang sejadah, menadah tangan, dan sujud kepada-Nya.
Untuk menguji sejauh mana kesetiaan setiap dari hamba-Nya itu, maka Tuhan berikan sedikit ujian kecil yang kadangkala tidak dapat ditanggung oleh manusia biasa dan pada waktu itulah manusia akan mengingati Maha Pencipta dan memohon diberi kekuatan untuk mendepani segala musibah yang mendatang, namun ada juga sesetengah kelompok yang masih jahil begitu berani menyalahkan takdir Tuhan, mencabar kekuasaan Yang Maha Besar dan paling menyedihkan apabila ada juga yang lancang bersuara apabila mengeluarkan kata-kata kesat bagaikan dialah yang begitu besar dan berkuasa di dunia ini.
Namun, Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang kerana Dia tidak pernah membeza-bezakan hamba-Nya dan ujian yang diberikan hanyalah untuk menyedarkan hamba-nya golongan manusia yang mampu berfikir ini agar sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya.
Saya berkata begini bukanlah kerana ingin menyedarkan sesiapa, tetapi lebih kepada untuk menyedarkan diri sendiri apabila ditimpa musibah kecil yang mampu menggugat keasyikan dan keselesaan saya dalam kehidupan selama ini dan kerana musibah ini jugalah saya mengerti realiti sebuah kehidupan yang sememangnya penuh dengan pancaroba.
Hujung minggu lalu merupakan hari yang begitu memenatkan saya apabila tetpaksa berpindah serta-merta kerana didakwa tidak membayar sewa rumah sejak dari Disember 2008 dan kenyataan tersebut benar-benar memeranjatkan saya kerana hakikatnya saya baru saja sebulan menyewa di rumah tersebut iaitu bermula dari 4 Mei 2009 dan bagaimana pula boleh timbul perkara seperti yang dibangkitkan oleh pemilik rumah tersebut?
Saya menyewa di situ apabila harus menjalani latihan industri selama dua bulan bermula dari 4 Mei hingga 3 Julai ini dan bersama saya terdapat lagi tiga orang penyewa lain yang masing-masing sudah hampir dua tahun tinggal di situ dan yang menghairankan saya adalah apabila tuan yang empunya rumah datang untuk berbincang, mereka mengaku baru saja menyewa di situ pada Mei 2009.
Hati saya tertanya-tanya kenapa mereka mengatakan sebegitu sedangkan mereka sudah lama menjadi penyewa di rumah tersebut dan kenapa mereka tidak berani menegakkan kebenaran dan menunjukkan bukti sahih jika mereka benar-benar sudah membayar sewa sebanyak RM 1,000 sebulan?
Mahu ataupun tidak, saya terpaksa mencari bilik sewa yang lain dan alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan sebuah bilik untuk dijadikan tempat berlindung dari panas dan hujan namun saya berasa sedikit kesal apabila terpaksa membayar wang deposit dengan jumlah yang agak besar kerana tempoh latihan industri saya hanya tinggal sebulan sahaja lagi dan RM 462 begitu berharga buat saya yang masih belum mendapat elaun dan terpaksa keluar ke sana sini untuk mendapatkan 'story' bagi menyempurnakan latihan industri saya.
Saya hanya mampu mengatakan bahawa ini adalah merupakan sebahagian daripada realiti kehidupan yang boleh dijadikan sebagai pengalaman yang berharga untuk saya terus memahami keperitan hidup dan setiap ujian itu adalah berbeza bagi setiap individu kerana hanya Tuhan saja mengetahui tahap kemampuan setiap dari hamba-Nya.

Tiada ulasan: